I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday 5 October 2011

BMM3105 Brosur


 Brosur1

Brosur 2

Tugasan : Kekangan yang perlu dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu melalui TMK dan cara-cara mengatasinya


1.0       Pengenalan

Komputer ialah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Ia sesuai untuk dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berkemampuan menerima dan memproses data. Komputer juga membantu pengajar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, jika komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran. Ini selaras dengan pandangan Heinich (1996) yang menyatakan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran.

Sejajar dengan teknologi ICT juga, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan pendidikan agar bangsa Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Transformasi ini telah mengubah anjakan paradigma pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidkan negara khususnya dalam meningkatkan minat pelajar, meningkatkan kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan jaringan seluruh dunia.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melihat ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, melahirkan hubungan yang lebih kuat antara sekolah-sekolah dan masyarakat, dan meningkatkan penguasaan pelajar. Konsep ICT dalam pendidikan dari kaca mata KPM merangkumi 3 polisi utama:
·         ICT untuk semua pelajar, bermaksud bahawa ICT digunakan sebagai sesuatu yang boleh mengurangkan jurang digital antara sekolah.
·         Fungsi dan peranan ICT di dalam pendidikan adalah sebagai suatu alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai sebahagian daripada subjek tersebut, dan sebagai sesuatu subjek tersendiri.
·         Menggunakan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sesuatu sistem pengurusan.

2.0       Kekangan/Masalah Penggunaan TMK

Terdapat pelbagai isu dan masalah yang timbul berhubung dengan penggunaan internet dalam kalangan pelajar dan guru untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran ini.

2.1       Kepakaran Guru yang Terhad

Seseorang guru yang mempunyai komputer mempunyai kaitan dengan tahap penggunaan internet. Menurut Zoraini (2000) dalam proses mengimplementasikan program berasaskan komputer di sekolah, seseorang guru biasanya dilatih tetapi bilangannya amat terhad. Sunal (1996) mendapati pembelajaran yang bermakna boleh dicapai melalui penggunaan sumber daripada internet oleh pelajar. Namun demikian perkara ini tidak akan berlaku sekiranya pengetahuan dan pengalaman seseorang guru adalah terhad terhadap penggunaan internet.

2.2       Kekurangan Khidmat Sokongan

Membekalkan dan menyelenggara peralatan komputer di sekolah memerlukan kos yang tinggi. Namun kekurangan kakitangan sokongan yang boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan komputer menyebabkan banyak komputer yang mengalami kerosakan dibiarkan begitu sahaja tanpa dibaik pulih. Selain daripada itu, kerja-kerja membaikpulih komputer ini dibebankan kepada guru yang mempunyai kemahiran tentang komputer. Bagi mengatasi masalah ini, setiap sekolah perlu diwujudkan unit sokongan teknikal bagi komputer yang khusus bukan sahaja dalam pemasangan komputer malah dalam kerja baikpulih dan penyelenggaraan komputer.


2.3       Masalah Isi Kandungan Dalam Internet

Maklumat yang banyak di internet yang tidak ditapis akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan khususnya kepada pelajar, yang menjadi antara golongan pelayar internet teramai di Malaysia. Terdapat banyak maklumat yang tidak sesuai seperti maklumat seks, keganasan, hasutan, khabar angin, diskriminasi, dadah, promosi keganasan dan penderaan, perjudian dan sebagainya. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 48% guru sukar mencari laman web yang bersesuaian untuk proses pengajaran dalam kelas. Kajian yang telah dijalankan oleh School Board Foundation dalam Thomas (2000) mendapati ibu bapa bimbang terhadap laman web lucah, 27% bimbang tentang keganasan dan 20% bimbang tentang kandungan kebencian.

2.4       Masalah Maklumat yang Tidak Tepat

Keistimewaan internet ialah tiada seorang pun yang memilikinya dan mengawalnya. Semua orang mempunyai hak untuk menyampaikan dan menyiarkan sebarang maklumat di internet. Ini menyebabkan terdapat banyak maklumat yang tidak tepat di internet. Maklumat ini boleh mendatangkan bahawa sekiranya para remaja terutamanya golongan pelajar tidak dapat membezakan maklumat yang betul dan maklumat yang salah. Ini akan menjejaskan matlamat pengajaran dan pembelajaran melalui internet (Nancy, 1997). Oleh yang demikian, guru perlu berupaya untuk menilai maklumat yang diperoleh daripada pelbagai media dan pelbagai sumber serta membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapatkan maklumat yang tepat dan betul.

2.5       Masalah Mencari Maklumat
Mempunyai akses ke internet tidak menjamin maklumat ada dapat digunakan untuk pembelajaran yang bermakna. Keadaan ini berlaku kerana guru menghadapi masalah untuk membuat pilihan ketika mencari maklumat disebabkan gambaran di hadapan mereka bercampur aduk serta maklumatnya bercelaru. Keadaan ini akan memberi kesan kepada pemilihan. Oleh itu. guru haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan enjin mencari maklumat yang dikehendaki daripada internet.

2.6       Masalah Hakcipta

Teknologi komputer telah menjadi kerja-kerja penyalinan maklumat dengan begitu senang iaitu dengan hanya menggunakan arahan file: save as pada pemapar web. Biasanya maklumat yang terdapat di internet diperoleh secara percuma. Dari sudut undang-undang, adalah menjadi kesalahan apabila seseorang menyiarkan semula sesuatu maklumat di web tanpa kebenaran bertulis daripada penulis asalnya. Namun demikian, terdapat ramai orang yang menyalin dan mempergunakan maklumat dan gambar grafik dari internet tanpa menghiraukan masalah hakcipta (Warren, 1998).

Sehubungan dengan itu, Akta Hak Cipta (Pindaan) 1997 diwujudkan bagi melindungi hakcipta intektual pengeluar multimedia melalui pendaftaran produk di internet, perlesenan dan pemerolehan royalti. Di samping itu juga, akta ini melindungi dan menjaga bahan-bahan perantaraan seperti program komputer, teks, gambar rajah, foto, imej dan lain-lain yang dilindungi oleh akta hak cipta.

2.7       Masalah Menghasilkan Pembelajaran Secara Talian

Penghasilan bahan pengajaran secara talian dalam kalangan guru masih lagi di tahap yang rendah. Ini disebabkan kebanyakan para guru tidak mempunyai pengalaman untuk membina laman web. Ini diakui melalui kajian Foong (1999) menunjukkan hanya 12.5% daripada guru di Selangor mempunyai pengalaman dan pengetahuan mereka bentuk laman web. Kekurangan kemahiran ini telah membataskan guru untuk menghasilkan bahan pengajaran secara talian.

Selain itu, penyediaan pembelajaran secara talian memakan masa yang panjang berbanding penyediaan pengajaran secara tradisional. Kajian yang dijalankan oleh National Education Association dalam Weiner (2000) terhadap guru-guru di Amerika Syarikat mendapati 43% guru menyatakan penyediaan untuk pembelajaran secara talian memakan masa yang lebih lama kerana beban kerja tambahan yang perlu dilakukan seperti mencipta bentuk laman web, sidang video dan membalas e-mel. Tambahan pula beban kerja ini tidak diikuti dengan kenaikan gaji.

Beban tugas utama yang dihadapi oleh para guru adalah menyediakan tugasan secara talian dan membalas e-mel pelajar. Mark Kassop dalam Weiner (2000) menyatakan seorang guru yang menyediakan pembelajaran secara talian untuk 20 orang pelajar menerima 80 sehingga 90 respons daripada pelajar-pelajarnya. Tugas membalas e-mel pelajar memakan masa yang lama kerana ia melibatkan penulisan yang bertaip. Ini berbeza dengan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas di mana pengajar perlu memberi penerangan dalam pengajarannya secara lisan dan respons daripada pelajar dapat diperoleh secara spontan dalam kelas. Kajian yang sama juga mendapati 83% daripada guru menghubungi pelajar sekurang-kurangnya satu kali seminggu melalui e-mel dan kebanyakan masa kadarnya lebih daripada 1 kali (Weiner, 2000).

2.8       Kekurangan Peralatan

Kajian yang dijalankan oleh Sunal (1996) mendapati masalah utama penggunaan internet dalam pengajaran ialah keperluan untuk menambah akses internet seupaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kajian juga menunjukkan guru memerlukan kemudahan mengakses internet di dalam kelas. Untuk mencapai tahap penggunaan yang optima, beberapa komputer diperlukan untuk kegunaan di dalam bilik darjah. Mengikut McKenzie (1996) yang menyatakan guru memerlukan 6 sehingga 8 unit komputer di sekolah rendah dan 10 sehingga 15 unit komputer di sekolah menengah untuk membolehkan program berasaskan teknologi dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Namun demikian, kemudahan ini sukar diperoleh kerana kebanyakan sekolah hanya menawarkan akses internet untuk satu atau dua komputer yang terletak di perpustakaan atau makmal komputer sahaja. Penyusunan demikian akan menyebabkan tahap penggunaan internet masih rendah dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet menjadi sukar kerana tidak terdapat komputer dalam kelas. Ini adalah disebabkan kekangan peruntukan kewangan untuk membeli komputer dan membuat penyelenggaraan komputer.
2.9       Pelajar Menjadi Pasif dan Kurang Berkomunikasi

Penggunaan internet walaupun ada kebaikan terdapat kekurangan di mana pelajar yang selalu mengakses internet lebih tertarik untuk duduk di hadapan komputer tanpa memikirkan kehidupan sosial sama ada dalam keluarga dan masyarakat. Senario ini akan menyebabkan pelajar menjadi pasif dan kurang berkomunikasi apabila berhadapan dengan orang ramai; sedangkan untuk menjadi seorang pelajar yang berdaya saing, mereka berkeupayaan untuk memberikan idea-idea yang bernas dan berkualiti bagi memantapkan kerjaya dan pembangunan kerjaya mereka kelak.

3.0       Mengatasi Kekangan/Masalah Penggunaan TMK

Dalam usaha memperkukuhkan asas bagi mencapai ekonomi berasaskan pengetahuan, penggunaan ICT secara strategik akan menjadi semakin penting selaras dengan tumpuan pembangunan ICT sepertimana dalam RMK9 antaranya menggiatkan usaha merapatkan jurang digital dan memperluaskan rangkaian komunikasi bagi memastikan akses kepada perkhidmatan dan maklumat yang lebih setara.

Matnor Daim (1997) mencadangkan 4 landasan penting yang harus wujud dalam system pendidikan kita untuk meningkatkan penggunaan internet (TMK) di kalangan pengajar dan pelajar iaitu:
·         Bilangan komputer yang mencukupi;
·         Perhubungan (setiap kelas dihubungkan ke lebuh raya maklumat);
·         Kurikulum (harus mempunyai kesinambungan dengan tenaga kerja masa depan);
·         Kecekapan (semua guru harus boleh dan yakin mengendalikan teknologi masa kini).
Keempat-empat landasan ini memberi impak yang positif ke arah mencapai kecemerlangan dalam pendidikan yang berteraskan kepada teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan komputer dan internet (TMK).


3.1       Latihan untuk Meningkatkan Kepakaran dan Inisiatif Guru

Inisiatif guru sendiri sangat penting dalam menjayakan penggunaan komputer dan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian yang dijalankan oleh Zoraini (2000) mendapati kebanyakan guru yang dapat menggunakan teknologi maklumat dengan efektif menguasai kemahiran mereka melalui pembelajaran sendiri dan memiliki komputer sendiri di rumah. Guru yang mempunyai karektor sebegini sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini kerana minat dan inisiatif sendiri. Abd. Latif (2002) dalam kajiannya menyatakan kebanyakan guru pelatih di UPSI memperoleh pengetahuan dan kemahiran teknologi internet daripada rakan sekerja berbanding mengikuti kursus.

Dalam usaha melahirkan guru yang mahir menggunakan komputer dan internet, latihan yang berkesan perlu diberikan kepada para guru. Sehubungan dengan itu, para guru telah diberi pinjaman untuk pemilikan komputer bagi meluaskan pengetahuan mereka tentang kemudahan dan penggunaan komputer dan ICT. Untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu inovasi dalam pendidikan, seharusnya penglibatan para guru pada awal-awal telah diketengahkan. Strategi yang dapat menentukan agar input dan penglibatan guru itu sentiasa diperoleh secara konsisten dan sistematik. Para guru perlu diberi latihan, kursus, maklumat dan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi khususnya dalam internet dan ICT. Pelbagai program latihan dilaksanakan bagi menggalakkan guru mempertingkatkan profesionalisme mereka secara berterusan khususnya di dalam mengatasi penggunaan internet.

3.2       Peranan Guru Dalam Mengintegrasikan Teknologi Dalam Pengajaran

Keberkesanan penggunaan teknologi maklumat juga bergantung kepada keterbukaan warga pendidik menerima teknologi maklumat dalam elemen pengajaran dan pembelajaran yang dirancangkan oleh mereka. Warga pendidik contohnya guru, yang menjadi nadi dan tulang belakang yang menjana keberkesanan pendidikan secara keseluruhannya, kita dapati semakin ramai di kalangan mereka sudah celik teknologi maklumat. Jika lima tahun lalu, hampir tiada guru di Malaysia mengetahui apa itu internet, apatah lagi menggunakan internet. Kini, bilangan guru yang mempunyai akses ke internet sudah semakin bertambah malahan mereka telah menganggap teknologi maklumat merupakan sesuatu yang perlu untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Perkembangan pesat dalam pengunaan teknologi maklumat dalam pendidikan merupakan satu jalan yang cerah untuk menjayakan pendidikan bertaraf dunia.

Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran behaviorisme pembelajaran berlaku apabila seseorang bertindak balas terhadap ransangan dan kemudiannya diberi pengukuhan. Teori kognitisme pula menegaskan pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima, diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang. Implikasi ini menunjukkan maklumat dianggap sebagai objek yang boleh dipindahkan kepada murid (Newell, 1990). Di bawah pembelajaran secara behaviorisme dan kognitisme setiap guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Guru kontruktivis menggunakan tugasan yang berdasarkan kepada keadaan sebenar di dalam bilik darjah.

Semasa pembelajaran kontruktivis guru berperanan sebagai pembimbing atau fasilitator yang mana melibatkan pembelajaran secara koperatif dan koloboratif dan belajar melalui perayauan. Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh para guru untuk menghubungkan antara teori kontruktivisme dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran ini membolehkan para pelajar mencari dan mengakses maklumat daripada mana-mana sumber yang terdapat dalam internet. Seharusnya guru yang akan mengaplikasikan pembelajaran secara kontruktivis dan kognitisme perlu lebih dahulu memahami dan mendalami pengetahuan dalam komputer dan ICT bagi memudah caranya mengajar kelak.

Dengan integrasi teknologi, peranan guru telah bertukar daripada penyampai maklumat kepada penyelaras sumber pembelajaran. Guru sekarang berperanan sebagai fasilitator, pengurus, kaunselor dan pakar motivasi. Peranan guru ini membolehkan para guru bebas bekerja secara individu atau dalam kumpulan kecil dan meninggalkan cara pengajaran formal yang lama. Guru membantu pelajar mencari maklumat daripada pelbagai sumber dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi.

3.3       Kurikulum untuk Pendidikan Era Internet

Salah satu kesan yang ketara merupakan penawaran subjek komputer di peingkat sekolah rendah, menengah dan juga institusi pengajian tinggi. Kursus ini sendiri merupakan satu gesaan untuk membolehkan para pelajar mengetahui dan menggunakan teknologi komunikasi. Kini, terdapat bidang-bidang pengajian yang baharu seperti komputer, teknologi maklumat, pengurusan maklumat, multimedia dan sebagainya. Tidak kurang juga kesannya memanfaatkan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembentukan kurikulum adalah berkait rapat dengan tujuan sesuatu program pendidikan masa depan. Pertimbangan yang wajar harus diberi perhatian adalah perubahan ketara masa kini ialah aliran hala tuju dunia sejagat ke era gelombang ketiga iaitu berasaskan maklumat. Penguasaan terhadap teknologi maklumat menjadikan seseorang atau negara mempunyai kelebihan dan kekuatan (Naisbitt, 1990).

Sebagai contoh, perubahan-perubahan dalam pelaksanaan struktur kurikulum latihan di maktab-maktab perguruan turut mengubah kuriklum di dalam bidang teknologi pendidikan khususnya dalam penggunaan media pengajaran. Perubahan yang ketara dari segi nama sukatan pelajaran kursus, isi kandungan, taksonomi objektif, kaedah pelaksanaan, penilaian dan tempoh pelaksanaan Sehubungan dengan itu, pengalaman pelajar yang mengikuti sesuatu kursus teknologi pendidikan sebagai objek tumpuan makin membolehkan pengajar memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan kurikulum terkini yang berteraskan kepada teknologi maklumat dan komunikasi.

3.4       Pengawalseliaan Penggunaan Internet di Sekolah

Memandangkan kandungan internet yang amat luas dan tiada kawalan, maka satu kawalan pengawalseliaan yang berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan para pelajar terdedah kepada maklumat yang berunsur negatif dan tidak bermanfaat terhadap proses pembelajaran mereka. Ramlah (1996) mencadangkan dalam usaha memperluaskan penggunaan internet kepada lebih ramai guru dan pelajar, kementerian haruslah mengenalpasti samada kaedah yang digunakan untuk mengawalselia penggunaan internet di sekolah adalah berkesan. Pihak sekolah, terutamanya guru-guru yang bertugas mempunyai akauntabiliti untuk menyimpan rekod penggunaan internet di makmal komputer dan membuat laporan yang lengkap merangkumi nama pengguna, tujuan penggunaan, masa penggunaan dan penyelia yang bertugas. Sekolah hendaklah menyediakan panduan dan peraturan penggunaan komputer dan internet dan menyatakan dengan jelas tindakan yang akan diambil akibat melanggar peraturan (Ragsdale, 1996; Snaley, 1996). Selain itu, Ramlah juga mencadangkan etika dimasukkan ke dalam kurikulum internet bertujuan untuk memudahkan penyiasatan kes-kes penyalahgunaan kemudahan internet di sekolah.

Bagi memastikan penggunaan internet yang beretika, kerajaan telah mewujudkan PusatTindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (NICER) yang menyediakan perkhidmatan dalam bidang forensik komputer, program pembudayaan, penyelidikan dasar, khidmat nasihat keselamatan dan penilaian perisian keselamatan. Penyediaan Rangka Kerja Keselamatan Maklumat Kebangsaan diwujudkan bagi menangani aspek perundangan, kawalselia dan teknikal.

3.5       Penyediaan Kemudahan

Untuk meningkatkan penggunaan komputer di kalangan para guru, Zoraini (2000) telah mencadangkan supaya bilik guru sekolah dilengkapi dengan kemudahan komputer untuk akses ke internet. Cadangan ini merupakan langkah pertama untuk memudahkan para guru mengakses internet melalui komputer yang disediakan kepada para guru. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 95% sekolah telah dilengkapi dengan komputer dan akses kepada internet (Mendels, 2000).

Dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan internet di kalangan guru, guru yang mengajar di pedalaman juga ketinggalan. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan Projek Internet Desa dengan menempatkan beberapa stesen internet di beberapa kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak seperti di kawasan Kota Samarahan dan Bario (Rozana, 2000). Penempatan beberapa stesen internet tersebut membolehkan mereka yang berada di kawasan tersebut mengakses internet dan dapat berhubung dengan mereka yang berada di dunia luar. Terdapat inisiatif kerajaan dalam mewujudkan jurang digital antara komuniti luar bandar dengan penubuhan 217 telecentre bawah program USB. Telecentre tersebut terdiri daripada 42 pusat Internet Desa, 39 Medan InfoDesa, 58 PusatAkses Komuniti dan 78 Kelas Literasi Komputer.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyeru semua sekolah supaya menggunakan inisiatif sendiri untuk menukarkan sekolah masing-masing ke sekolah pintar (Chandran,2000). Ini bermakna sekolah mempunyai tanggungjawab untuk mencari sumber kewangan bagi tujuan tersebut. Untuk mengatasi masalah tersebut, ada sekolah yang bekerjasama dengan pihak swasta untuk melengkapkan komputer di sekolah. Peranan sektor swasta juga banyak membantu perkembangan pengunaan teknologi maklumat, kerana sememangnya kita tahu penggunaan teknologi maklumat memerlukan kos, maka kekangan kos inilah biasanya membataskan pengunaan teknologi maklumat. Pada masa kini, kadar bayaran untuk mengakses internet sama ada melalui TM-Net atau Jaring telah menurun, malahan syarikat besar seperti Telekom bekerjasama dengan Kementerian pendidikan untuk menghasilkan Telekom Smart School yang menyediakan pekej pengajaran dan pembelajaran melalui Laman Web yang dinamakan get Cyber Ed.com. Pihak swasta yang terlibat bertanggungjawab untuk membekalkan komputer, membaikpulih komputer dan membekalkan latihan kepada guru dan pelajar. Bagi meningkatkan pembekalan akses internet di sekolah, kerjasama daripada pembekal internet (ISP) diperlukan untuk mengurangkan kos tanggungan pengguna.
3.6       Meningkatkan Minat Para Pengguna
Penggunaan multimedia dapat menjadikan proses pencarian maklumat sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan. Interaktiviti dalam sistem multimedia membolehkan sesuatu proses latihan atau pengajaran dijalankan mengikut kesesuaian, keperluan dan citarasa pelajar. Penggunaan elemen-elemen multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran didapati mampu menarik minat pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (Thomas,1996). Keistimewaan sistem multimedia adalah ia dapat menerima tindak balas berbentuk teks yang ditaip ataupun suara yang dimasukkan melalui mikrofon oleh para pelajar. Kaedah ini dapat menyediakan suasana saling tindak antara pelajar dan komputer.

3.7       Mengurangkan Masa Bagi Menguasai Aplikasi

Menggunakan multimedia membolehkan sesebuah aplikasi digunakan dengan mudah dan seterusnya menjimatkan masa bagi tujuan penguasaan. Penggunaan media seperti video dan animasi apabila mempersembahkan proses ujikaji atau eksperimen membolehkan seseorang pelajar memahami dan seterusnya menguasai konsep yang diajar dengan mudah. Terdapat pelbagai jenis aplikasi yang memanfaatkan teknik simulasi yang dapat digunakan dalam pendidikan; contohnya simulasi penerbangan. Quinn (1993) dan Palincsar (1995) misalnya telah mendapati bahawa penggunaan simulasi berkomputer di dalam proses pembelajaran mampu meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberikan dengan lebih berkesan. Ini turut disokong oleh kajian Farrimond dan rakan-rakan (1997) yang telah memanfaatkan teknologi multimedia terkini untuk memindahkan kaedah pembelajaran secara kajian kes tradisi kepada simulasi komputer. Penggunaan multimedia yang membekalkan pelbagai jenis maklumat dalam pelbagai bentuk media dan pendekatan dapat membantu dalam pembentukan corak ingatan yang lebih kompleks dan seterusnya memudahkan proses capaian maklumat tersebut dilakukan pada masa hadapan.

3.8       Meningkatkan Kebolehan Capaian

Dengan menggunakan pelbagai media, kebolehan capaian terhadap sesuatu isi kandungan dapat dipelbagaikan. Sumber rujukan elektronik seperti ensaiklopedia, tutorial interaktif, buku elektronik dan sebagainya yang merupakan sumber elektronik dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu seseorang pelajar meningkatkan kebolehcapaian dalam internet. Ini adalah kerana multimedia berupaya menyediakan persekitaran pembelajaran yang berbentuk pelbagai pancaindera dan ia sesuai untuk manusia yang mempunyai pelbagai gaya pembelajaran dan tahap kognitif.

3.9       Meningkatkan Pemahaman dan Pengekalan Informasi Dalam Ingatan

Penggunaan pelbagai media yang dinamik membolehkan seseorang memahami sesuatu isi kandungan dengan lebih pantas dan seterusnya menyimpan informasi yang diterima keingatan jangka panjang. Kajian saintifik membuktikan proses ingatan yang berlaku dalam otak manusia mudah dilaksanakan apabila manusia menerima pelbagai pengukuhan dengan menggunakan pelbagai jenis media seperti teks, audio, grafik dan animasi. Manusia lebih mudah memahami dan seterusnya mengingati sesuatu maklumat apabila ia mempunyai perkaitan atau pertalian dengan maklumat yang lain. Di samping berupaya menarik perhatian elemen-elemen multimedia yang ditawarkan juga mampu membantu seseorang pelajar melakukan proses visualisasi. Ini secara tidak langsung membentuk kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep, proses, idea dan sebagainya dengan lebih pantas dan jelas. Sifat semulajadi media tersebut menyokong proses interaksi dan membentuk persekitaran pembelajaran serta menjadikan pelajar lebih aktif dalam kelas.

4.0       Kesimpulan

Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendididikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal 60-an lagi. Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan berasaskan komputer ini. Dalam konteks pendidikan, ia bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran.

Konsep pembelajaran berasaskan peralatan teknologi komunikasi (ICT) khususnya internet dianggap semakin popular dan penting untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian seseorang pelajar di dalam pelajarannya. Kajian menunjukkan stail pembelajaran pelajar banyak mempengaruhi hasil pembelajaran. Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan aplikasi seperti internet dapat membantu pengurusan dan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan pendidik, pelajar, ibu bapa dan ahli masyarakat yang prihatin. Penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; dan membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah.

Kepesatan teknologi internet (TMK) ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pendidik dan pelajar demi memartabatkan lagi pendidikan ke arah kecemerlangan pendidikan. Walaupun terdapat kekangan atau masalah yang timbul ianya bukan satu isu yang tidak boleh diatasi malah kerajaan telah membuat pelbagai perancangan dan pelaksanaan seperti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010 dalam memartabatkan ICT di Malaysia. Antara program yang dilaksanakan adalah program latihan dan pendidikan ICT diperluaskan lagi di peringkat sekolah, prauniversiti dan IPT adalah pembangunan kemahiran teras dalam pelbagai bidang seperti pembangunan perisian dalam sains hayat dan aplikasi pengetahuan juga kelonggaran prakelulusan kurikulum kepada IPT supaya selaras dengan kehendak dan keperluan industri. Sistem pendidikan yang berkembang pesat selaras dengan kehendak dan aspirasi negara ini perlulah mengaplikasikan ICT khususnya dalam penggunaan teknologi internet supaya sistem pendidikan tidak ketinggalan jauh berbanding dengan negara maju.

TAJUK 15


TAJUK 15 : Seminar Dan Pameran Tmk Dalam Pengajaran BahasaMelayu Dekad Kini Dan Mendatang.

Seminar
Seminar menurut kamus pelajar mengatakan suatu perjumpaan untuk menyelidik dan membahaskan sesuatu masalah di bawah pimpinan orang-orang yang ahli dalam hal itu. Terdapat pelbagai isu yang boleh diseminarkan iaitu :
  • Pengaplikasian teknologi maklumat dalam P&P bahasa Melayu
  • Penggunaan komputer di sekolah
  • Pembinaan modul pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu


Contoh seminar P&P Bahasa Melayu Berbantukan Komputer:




Antara Hasil Bbm Berbantukan Komputer


Contoh Borang Pemarkahan Pertandingan Seminar P&P berbantukan Komputer


Pameran


Pengertian pameran adalah suatu kegiatan untuk mempamerkan hasil kerja yang telah siap dibina bagi sebagai rujukan dan panduan kepada orang ramai dalam proses pembinaannya.
Jenis-jenis pameran:
BIL
PERKARA
HURAIAN
1
Pameran tetap
Pameran yang dijalankan tanpa melakukan perpindahan tempat
2
Pameran Temporer
Pemeran yang diadakan buat sementara waktu iaitu mempunyai satu tempoh masa yang ditetapkan
3
Pameran Keliling
Pameran yang dijalankan dengan secara mengelilingi sesuatu tempat tanpa mengira waktu yang tetap.
Contoh Pameran:



Contoh pamplet Pameran :